ᴘᴇɴᴊᴇɴᴀʏᴀʜ ᴛᴇɢᴀʀ ᴅɪᴄᴇᴋᴜᴘ ᴅɪsʏᴀᴋɪ ᴄᴜʀɪ ᴍᴏᴛᴏsɪᴋᴀʟ, ʙᴇsɪ

Berita

PADAWAN: Seorang lelaki yang mempunyai 22 rekod jenayah lampau ditahan kerana disyaki mencuri motosikal dan besi.  

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata suspek berusia 28 tahun dari Kampung Semerah Padi itu ditangkap di sebuah bangunan kosong di Jalan Tapang, Batu 7 selepas cuba melarikan diri daripada polis, kira-kira jam 3.15 petang semalam.  

“Semasa anggota membuat rondaan telah terserempak dengan suspek yang dicari dengan panggilan nama ‘Boy’ sedang duduk di kaki lima bangunan kosong di Jalan Tapang.  

“Apabila anggota hendak membuat pemeriksaan ke atas suspek, dia terus melarikan diri ke dalam semak sebelah bangunan berkenaan dan telah berlaku pergelutan semasa melaksanakan tangkapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.  

Beliau berkata hasil soal siasat, suspek mengaku mencuri sebuah motosikal dan mencuri besi di Shell Batu 6 bersama-sama seorang rakannya.  

Menurut Abang Zainal, pemeriksaan rekod kesalahan lampau turut mendapati suspek mempunyai 18 kes berkaitan jenayah, dua kes berkaitan narkotik dan dua kes jenayah komersial.  

KAPSYEN: Suspek yang berjaya ditangkap di sebuah bangunan kosong di Jalan Tapang, Batu 7 selepas cuba melarikan diri daripada polis, kira-kira jam 3.15 petang semalam.